Thursday, June 5, 2025

Sejarah Penubuhan KDCA Klang Valley

Sambutan Pesta Kaamatan di Lembah Klang mula dilaksanakan secara tidak rasmi pada tahun 1996, hasil inisiatif seorang anak jati Sabah, Zandi Evelyn Gobile, yang ketika itu berkhidmat di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Bertitik tolak daripada niat untuk merapatkan ukhuwah sesama komuniti perantau, beliau menganjurkan perjumpaan santai di kediamannya di Sri Petaling.


Walaupun hanya disertai sekitar 20 orang, pertemuan kecil ini menjadi detik penting yang membuka jalan kepada pelaksanaan sambutan Kaamatan secara lebih terancang pada tahun-tahun berikutnya. Pada tahun 1997, sambutan diteruskan dengan sokongan mendiang Datuk Richard Bainun yang menaja perjumpaan tersebut di Kelab Golf Bukit Jalil. Setahun kemudian, lokasi beralih ke Hotel Regent, juga atas tajaan beliau, dan kehadiran meningkat kepada kira-kira 60 orang.

Mendiang Datuk Richard Bainun

Perkembangan ini menandakan pertumbuhan minat dalam kalangan komuniti terhadap usaha mengekalkan warisan budaya meskipun berada jauh dari tanah kelahiran. Tahun 1999 menjadi tahun bersejarah apabila buat pertama kalinya persembahan Tarian Sumazau dan Koir Kaamatan dipentaskan semasa perjumpaan yang berlangsung di Hotel Centra (kini Hotel Zon Residence). Tahun yang sama menyaksikan pembentukan rasmi Jawatankuasa KDCA Klang Valley yang pertama, dipengerusikan oleh Gundohing Nicholas Panjangou.

 

Pada tahun 2000, setelah Gundohing Nicholas melepaskan jawatan, tanggungjawab sebagai Pengerusi dipikul oleh Zandi Julie Jiduin, yang ketika itu merupakan Setiausaha Jawatankuasa. Beliau kemudiannya menyelaras sambutan Pesta Kaamatan 2000 yang berlangsung di Kelab Raintree, Ampang. Tahun tersebut juga mencatat sejarah baharu apabila pertandingan Unduk Ngadau dan Sugandoi diperkenalkan sebagai acara rasmi. Tati Angeline Ongkunik dinobatkan sebagai Unduk Ngadau pertama, manakala Totu Robert Joe Kimsin muncul sebagai pemenang pertama Sugandoi.

 

Pada tahun 2001, mendiang Datuk Richard Bainun secara rasmi dilantik sebagai Pengerusi KDCA Klang Valley dan menerajui organisasi ini hingga tahun 2018. Kepimpinan kemudiannya diserahkan semula kepada Zandi Julie Jiduin yang kekal menerajui sehingga awal April 2025, mengekalkan kesinambungan dan kelestarian perjuangan budaya dalam kalangan komuniti perantau.

 

Wabak COVID-19 yang melanda dunia pada tahun 2020 hingga 2022 memberi cabaran besar kepada penganjuran aktiviti fizikal. Namun begitu, KDCA Klang Valley terus kreatif menyesuaikan diri dengan norma baharu melalui pelaksanaan aktiviti Kaamatan secara maya. Antara inisiatif tersebut termasuklah Pertandingan Manangon atau “Bercerita dalam Bahasa Kadazandusun” untuk murid sekolah rendah dan menengah, serta pertandingan video pendek bertemakan budaya Kadazandusun untuk golongan dewasa. Aktiviti ini bukan sahaja menerima sambutan luar biasa, tetapi turut membuktikan bahawa budaya mampu terus hidup dan berkembang meskipun dalam keterbatasan.

 

Zandi Julie Jidwin

Mulai tahun 2023, sambutan Pesta Kaamatan kembali dilaksanakan secara fizikal dan meriah seperti sebelumnya. Sepanjang masa ini juga, KDCA Klang Valley aktif menjalankan aktiviti kebajikan dan kolaborasi bersama rumah-rumah kebajikan, persatuan orang buta, dan rumah kanak-kanak istimewa. Malah, mereka turut membantu menyantuni pelbagai kes melibatkan komuniti Sabah di Semenanjung seperti bantuan perubatan, guaman, kes penipuan dan pelbagai lagi.


Kini, dengan pelantikan Pengerusi baharu, Totu Stevie Sebol, Jawatankuasa KDCA Klang Valley bagi sesi 2025–2028 bertekad untuk memperkukuh legasi yang telah dibina. Berpaksikan visi untuk menjadi peneraju dalam memartabatkan warisan dan budaya Kadazandusun, serta misi untuk memacu pembangunan sosio-budaya dan ekonomi yang mampan, kepimpinan baharu ini turut berazam memastikan penyertaan aktif komuniti dalam pelbagai usaha kolaboratif yang strategik dan inklusif.

 

 

YBhg. Datuk Toisin Gantor (kiri – Penasihat KDCA Klang Valley Sesi 2025-2028), YBhg. Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Datuk Kitingan (tengah – Presiden KDCA Sabah), YBrs. Totu Stevie Sebol (kanan – Pengerusi KDCA Klang Valley Sesi 2025-2028).


Laman Facebook KDCA Klang Valley: Kadazan Dusun Cultural Association Official Facebook Page

 

Laman Instagram KDCA Klang Valley: Kadazan Dusun Cultural Association Official Instagram Page

 

Laman TikTok KDCA Klang Valley: Kadazan Dusun Cultural Association Official TikTok Page


#KDCAKlangValley #KVTigaDekad #KDCA #KDCAKlangValleyTigaDekad #KDCAKlangValley #Misompuru #KadazanDusunCulturalAssociation

No comments:

Post a Comment