LAMAI
KAAMATAN PERINGKAT KDCA KLANG VALLEY TAHUN 2025
"Kaamatan Untuk Semua" |
"Kaamatan For All" | "Kaamatan Montok Toinsanan"
Program Sambutan Lamai Kaamatan peringkat Kadazan
Dusun Cultural Association (KDCA) Klang Valley telah diadakan dengan penuh
meriah pada 11 Mei 2025 bertempat di Dorsett Grand Subang, Selangor Darul Ehsan.
Tahun ini menyaksikan sambutan yang lebih bermakna apabila KDCA Klang Valley
turut meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-30 – satu detik bersejarah yang
mengangkat perjuangan dan jati diri komuniti Kadazandusun-Murut-Rungus (KDMR)
di Semenanjung Malaysia. Majlis perasmian pembukaan disempurnakan oleh Yang
Berbahagia Datuk Noraini Idris, Ketua Wanita UMNO Sabah. Manakala acara
kemuncak penutupan telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Huguan Siou Tan Sri
Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Datuk Kitingan, Presiden KDCA Sabah – simbol
kepimpinan yang terus memacu pemeliharaan budaya dan perpaduan masyarakat
Kadazandusun.

Program ini turut dihadiri oleh pelbagai
individu penting, antaranya Yang Berhormat Tindarama Datuk Joniston Bangkuai,
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah; Yang
Berbahagia Tindarama Datuk Suman Yasambun, Setiausaha Agung KDCA Sabah; Yang
Berbahagia Dato’ Mohd Yusri bin Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha
(Kebudayaan), MOTAC; Yang Berbahagia Prof. Madya Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul,
Ketua Pegawai Eksekutif, Institute for Development Studies Sabah (IDS Sabah); Yang
Berbahagia Prof. Madya Datin Dr. Veronica Petrus Atin, Universiti Malaysia
Sabah; Yang Berusaha Puan Masmidah Binti Arsah (IDS Sabah) Sabah serta dif-dif jemputan daripada pelbagai latar belakang.




Dalam perutusan Buku Program dan ucapan semasa
Acara Kemuncak, Yang Berbahagia Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Panglima
menyatakan bahawa tema “Kaamatan untuk Semua” dipilih bagi menzahirkan aspirasi
KDCA untuk menjadikan Pesta Kaamatan sebagai perayaan yang inklusif,
menyatupadukan, dan meraikan kepelbagaian. Ia mencerminkan semangat
keterangkuman yang telah lama menjadi teras kepada keharmonian masyarakat
pelbagai etnik di Sabah. Beliau turut menyatakan bahawa Kaamatan bukan milik
satu kaum semata-mata, tetapi adalah anugerah budaya yang harus dihargai oleh
seluruh rakyat Malaysia, khususnya di Sabah. Ia adalah platform untuk
memperkenalkan kekayaan adat resam, bahasa, kesenian dan falsafah hidup
masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus kepada generasi muda serta komuniti
global. Sebagai Huguan Siou dan Presiden KDCA, beliau juga menyeru agar seluruh
masyarakat terus menyokong usaha-usaha pemeliharaan dan pemerkasaan warisan
budaya. Gunakanlah perayaan ini sebagai peluang untuk memperkukuh ikatan
kekeluargaan, memperluas jalinan persahabatan, dan menanam semangat perpaduan
dalam kalangan rakyat pelbagai latar belakang. Makna sebenar Kaamatan haruslah
dihayati – bukan sekadar pesta atau sambutan tradisi, tetapi sebagai simbol
ketahanan budaya dan kekuatan komuniti yang bersatu padu dalam menghadapi
cabaran masa hadapan. Penganjuran Lamai Kaamatan KDCA Klang Valley yang telah
menjangkau usia 30 tahun merupakan satu jangka masa yang bukan singkat dan
telah menyaksikan pelbagai momen telah dicipta di Semenanjung Malaysia dan
Lembah Klang khasnya. Yang Berbahagia Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Panglima
mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Totu Stevie Sebol atas pelantikan
beliau sebagai Pengerusi KDCA Klang Valley yang baharu bagi sesi 2025–2028.
Pelantikan ini merupakan satu langkah penting dalam memastikan kesinambungan
legasi kepimpinan dan visi strategik KDCA Klang Valley. Beliau berharap agar
KDCA Klang Valley akan meneruskan legasi kecemerlangan yang menjadi pengantara
komuniti Kadazan Dusun Murut di Semenanjung Malaysia dan KDCA Sabah.




Bagi tujuan pelaksanaan program sambutan yang
berusia tiga puluh tahun ini, pihak Jawatankuasa Penganjur telah berjaya
menjalinkan kolaborasi erat dengan pelbagai rakan strategik termasuk Kementerian
Perpaduan Negara (KPN); Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (MOTAC); Bahagian
Hal Ehwal Sabah Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (BHESS, JPM); Persatuan Kebudayaan
dan Warisan Malaysia Borneo (Malaysia Borneo Cultural and Heritage Association
- MANTRA), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian
Persekutuan (FAMA), Institute for Development Studies Sabah (IDS Sabah), Pejabat
Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur, serta pelbagai pemain industri, NGO dan swasta
seperti Titijaya Land Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Dorsett Grand Subang,
Spirits Of The Harvest, KOVAC Empire, dan banyak lagi. Sambutan ini turut
disemarakkan dengan kehadiran lebih daripada 1,000 orang pengunjung dari pagi sehingga
malam.
Antara acara istimewa ialah Upacara Adat
Popohimagon Bambarayon yang dipersembah oleh pelajar Universiti Pengajian
Sultan Idris (UPSI) — satu simbolik penghormatan kepada berakhirnya musim
menuai dan keberkatan semangat padi (Bambarayon), yang menyentuh jiwa dan
menyambung kesinambungan budaya antara generasi.
Tahniah kepada para peserta yang telah dianugerahkan
tujuh tempat teratas (Top 7) dalam pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan iaitu
Tati Norasnih Madjalan (Juara); Saineh Urus (Naib Juara); Maychelle Roger Mool (Ketiga);
Sonnia Onah Binti Robert (Keempat); Petronelizin Jackson (Kelima); Richealyn
Jallynius (Keenam) dan Phebe Cherilynn Yong (Ketujuh). Manakala, tiga tempat
teratas (Top 3) pertandingan Sugandoi Kaamatan tekah dianugerahkan kepada Tati Norzizi
Safira binti Iddy (Juara); Totu Maurice Micheal (Naib Juara) dan Totu Mohd
Shafiq bin Mulis (Ketiga).
Klik di pautan berikut untuk menonton rakaman penuh:
Rakaman Acara Siang - Sambutan Lamai Kaamatan KDCA Klang Valley 2025Rakaman Acara Kemuncak - Sambutan Lamai Kaamatan KDCA Klang Valley 2025 (Part I)Rakaman Acara Kemuncak - Sambutan Lamai Kaamatan KDCA Klang Valley 2025 (Part II)
Pautan post bergambar di media sosial Facebook adalah seperti berikut:
Untuk memuat turun Buku Program, klik di pautan ini.
Liputan oleh Sabah Media di pautan ini.
Kredit fotografi & videografi: TME Images, En. Amizan Ahmad & En. Ramizi Adnan.
In support of Visit Malaysia Year 2026 & ASEAN Chairmanship by Malaysia 2025.
#KVTigaDekad #KDCAKlangValleyTigaDekad #LamaiKaamatan #Kaamatan2025
#KaamatanUntukSemua #KaamatanForAll #KaamatanMontokToinsanan #UndukNgadau
#Sugandoi #BudayaWarisanMalaysiaBorneo #KadazanDusunMurut #MalaysiaMadani
#KembaraPerpaduan #HarmoniMadani #KDCAKV