LAMAI KAAMATAN PERINGKAT KDCA KLANG VALLEY TAHUN 2025
"Kaamatan Untuk Semua" |
"Kaamatan For All" | "Kaamatan Montok Toinsanan"
Dalam perutusan Buku Program dan ucapan semasa
Acara Kemuncak, Yang Berbahagia Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Panglima
menyatakan bahawa tema “Kaamatan untuk Semua” dipilih bagi menzahirkan aspirasi
KDCA untuk menjadikan Pesta Kaamatan sebagai perayaan yang inklusif,
menyatupadukan, dan meraikan kepelbagaian. Ia mencerminkan semangat
keterangkuman yang telah lama menjadi teras kepada keharmonian masyarakat
pelbagai etnik di Sabah. Beliau turut menyatakan bahawa Kaamatan bukan milik
satu kaum semata-mata, tetapi adalah anugerah budaya yang harus dihargai oleh
seluruh rakyat Malaysia, khususnya di Sabah. Ia adalah platform untuk
memperkenalkan kekayaan adat resam, bahasa, kesenian dan falsafah hidup
masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus kepada generasi muda serta komuniti
global. Sebagai Huguan Siou dan Presiden KDCA, beliau juga menyeru agar seluruh
masyarakat terus menyokong usaha-usaha pemeliharaan dan pemerkasaan warisan
budaya. Gunakanlah perayaan ini sebagai peluang untuk memperkukuh ikatan
kekeluargaan, memperluas jalinan persahabatan, dan menanam semangat perpaduan
dalam kalangan rakyat pelbagai latar belakang. Makna sebenar Kaamatan haruslah
dihayati – bukan sekadar pesta atau sambutan tradisi, tetapi sebagai simbol
ketahanan budaya dan kekuatan komuniti yang bersatu padu dalam menghadapi
cabaran masa hadapan. Penganjuran Lamai Kaamatan KDCA Klang Valley yang telah
menjangkau usia 30 tahun merupakan satu jangka masa yang bukan singkat dan
telah menyaksikan pelbagai momen telah dicipta di Semenanjung Malaysia dan
Lembah Klang khasnya. Yang Berbahagia Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Panglima
mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Totu Stevie Sebol atas pelantikan
beliau sebagai Pengerusi KDCA Klang Valley yang baharu bagi sesi 2025–2028.
Pelantikan ini merupakan satu langkah penting dalam memastikan kesinambungan
legasi kepimpinan dan visi strategik KDCA Klang Valley. Beliau berharap agar
KDCA Klang Valley akan meneruskan legasi kecemerlangan yang menjadi pengantara
komuniti Kadazan Dusun Murut di Semenanjung Malaysia dan KDCA Sabah.
Bagi tujuan pelaksanaan program sambutan yang berusia tiga puluh tahun ini, pihak Jawatankuasa Penganjur telah berjaya menjalinkan kolaborasi erat dengan pelbagai rakan strategik termasuk Kementerian Perpaduan Negara (KPN); Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (MOTAC); Bahagian Hal Ehwal Sabah Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (BHESS, JPM); Persatuan Kebudayaan dan Warisan Malaysia Borneo (Malaysia Borneo Cultural and Heritage Association - MANTRA), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institute for Development Studies Sabah (IDS Sabah), Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur, serta pelbagai pemain industri, NGO dan swasta seperti Titijaya Land Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Dorsett Grand Subang, Spirits Of The Harvest, KOVAC Empire, dan banyak lagi. Sambutan ini turut disemarakkan dengan kehadiran lebih daripada 1,000 orang pengunjung dari pagi sehingga malam.
Antara acara istimewa ialah Upacara Adat
Popohimagon Bambarayon yang dipersembah oleh pelajar Universiti Pengajian
Sultan Idris (UPSI) — satu simbolik penghormatan kepada berakhirnya musim
menuai dan keberkatan semangat padi (Bambarayon), yang menyentuh jiwa dan
menyambung kesinambungan budaya antara generasi.
Tahniah kepada para peserta yang telah dianugerahkan tujuh tempat teratas (Top 7) dalam pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan iaitu Tati Norasnih Madjalan (Juara); Saineh Urus (Naib Juara); Maychelle Roger Mool (Ketiga); Sonnia Onah Binti Robert (Keempat); Petronelizin Jackson (Kelima); Richealyn Jallynius (Keenam) dan Phebe Cherilynn Yong (Ketujuh). Manakala, tiga tempat teratas (Top 3) pertandingan Sugandoi Kaamatan tekah dianugerahkan kepada Tati Norzizi Safira binti Iddy (Juara); Totu Maurice Micheal (Naib Juara) dan Totu Mohd Shafiq bin Mulis (Ketiga).
Klik di pautan berikut untuk menonton rakaman penuh:
Pautan post bergambar di media sosial Facebook adalah seperti berikut:
Untuk memuat turun Buku Program, klik di pautan ini.
Liputan oleh Sabah Media di pautan ini.
Kredit fotografi & videografi: TME Images, En. Amizan Ahmad & En. Ramizi Adnan.
In support of Visit Malaysia Year 2026 & ASEAN Chairmanship by Malaysia 2025.


















No comments:
Post a Comment